Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Mei. - Penganugerahan Pingat Kerja Lama (P.K.L) merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang berkhidmat lebih 20 tahun.
Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan tersebut juga dapat meningkatkan motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti kepada kerajaan dan negara.
Seramai 244 penerima P.K.L terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi tahun 2026 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Pengurniaan pingat tersebut diharap akan menyuntik semangat para penerima untuk memberikan perkhidmatan dengan lebih cemerlang lagi pada masa akan datang.